Saturday 24 August 2013

Usaha-usaha Mengatasi Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

Usaha-usaha mengatasi Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

         Remaja pad a masa ini terlalu mengejar kebebasan.Hal ini demikian kerana mereka merasakan bahawa mereka sudah dewasa dan bebas melalukan apa-apa sahaja. Masalah sosial seperti melepak, pergaulan bebas, vandalisme dan gengsterisme semakin meningkat dalam kalangan remaja. Akhirnya, remaja itu sendiri yang akan mendapat musibah akibat perbuatan mereka.   Persoalannya, apakah punca masalah ini dan usaha-usaha yang boleh diambil bagi mengatasinya.
            Antara punca masalah sosial berlaku dalam kalangan remaja ialah pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya yang baik akan mempengaruhi seseorang remaja untuk melakukan sesuatu perkara yang berfaedah. Sebaliknya, pengaruh rakan sebaya yang negatif akan menyebabkan seseorang itu terlibat dalam masalah sosial. Remaja yang terpengaruh akan melakukan  semua perbuatan negatif yang dilakukan oleh rakannya kerana tidak mahu kehilangan rakannya itu. Akhirnya, dia kan terjerumus dalam masalah sosial yang lebih besar. Jelaslah bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan punca masalah ini berlaku.
            Selain itu, kekurangan didikan agama menyebabkan masalah ini berlaku. Remaja yang kekurangan didikan agama berkemungkinan besar akan terlihat di dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana remaja itu mempunyai pengetahuan agama yang sedikit, menyebabkan imannya menjadi rapuh. Jika hal ini berlaku, maka remaja itu akan terpengaruh dan terikut-ikut dengan perbuatan negatif rakannya. Sebaliknya, remaja yang mempunyai pegangan agama yang kuat tidak akan terpengaruh dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah. Oleh itu, masalah ini berlaku juga disebabkan oleh kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja.
           Masalah sosial ini boleh diatasi dengan memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada para remaja. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak remaja mereka mengenai ilmu keagamaan. Hal ini demikian agar remaja mempunyai pegangan agama yang kuat dan tidak terlibat dalam masalah sosial. Mereka juga akan berkembang secara seimbang dan sihat dari segi rohani. Jadi, didikan agama amat penting agar remaja tidak akan terpengaruh dengan gejala sosial.
          Akhir sekali, pihak yang berkaitan boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu disasarkan kepada golongan remaja. Remaja boleh melibatkan diri dalam aktiviti seperti gotong-royong, senamrobik dan aktiviti sukan seperti bola sepak dan badminton. Dengan cara ini, remaja dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Jelaslah bahawa remaja dapat melibatkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, sekaligus dapat mengelak  daripada terlibat dalam masalah sosial.
          Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam mengatasi masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana remaja bakal memimpin negara ini pada masa yang akan datang. Jika masalah ini tidak diatasi, nescaya negara kita kan kehilangan pemimpin yang berwibawa dan masalah sosial akan terus menjadi-jadi.

5 comments: