Saturday 24 August 2013

PERPADUAN SUARA SATU MALAYSIA

PERPADUAN SUARA SATU MALAYSIA

Nukilan: Kumpulan Sayembara Puisi dan Lagu SMK LAKE 2013
Marilah kita kibarkan panji-panji kebesaran
Buat ibu pertiwi tercinta,
Atas dasar perpaduan bangsa,
Kita ukirkan Satu Malaysia

Kita bentuk ikatan tanpa rasa dendam,
Kita bentuk ukhwah tanpa dosa,
Meresap menjalir ke lubuk damai,
Menjelmakan buana keamanan.

Usahlah menoleh ke belakang lagi,
Harus kita lupa kisah lama,
Kita sematkan cinta yang suci,
Agar keamanan terus subur.

Kita sayang sesama manusia,
Kita dambakan pendamaian,
Kita junjung tamadun bangsa,
Kita bentuk ikatan yang padu.

Ayuh!
Kita bangkit bersama,
Bangkit bersama dari mimpi ilusi,
Bangkit dari remang kata-kata,
Bangkit tanpa curiga,
Demi kelestarian satu nusa.

Yang kita semat di hati, jiwa dan raga,
Kasih dan sayang,
Hormat menghormati,
Antara kita bersama.

Kitalah,

Satu Malaysia!

Usaha-usaha Mengatasi Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

Usaha-usaha mengatasi Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

         Remaja pad a masa ini terlalu mengejar kebebasan.Hal ini demikian kerana mereka merasakan bahawa mereka sudah dewasa dan bebas melalukan apa-apa sahaja. Masalah sosial seperti melepak, pergaulan bebas, vandalisme dan gengsterisme semakin meningkat dalam kalangan remaja. Akhirnya, remaja itu sendiri yang akan mendapat musibah akibat perbuatan mereka.   Persoalannya, apakah punca masalah ini dan usaha-usaha yang boleh diambil bagi mengatasinya.
            Antara punca masalah sosial berlaku dalam kalangan remaja ialah pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya yang baik akan mempengaruhi seseorang remaja untuk melakukan sesuatu perkara yang berfaedah. Sebaliknya, pengaruh rakan sebaya yang negatif akan menyebabkan seseorang itu terlibat dalam masalah sosial. Remaja yang terpengaruh akan melakukan  semua perbuatan negatif yang dilakukan oleh rakannya kerana tidak mahu kehilangan rakannya itu. Akhirnya, dia kan terjerumus dalam masalah sosial yang lebih besar. Jelaslah bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan punca masalah ini berlaku.
            Selain itu, kekurangan didikan agama menyebabkan masalah ini berlaku. Remaja yang kekurangan didikan agama berkemungkinan besar akan terlihat di dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana remaja itu mempunyai pengetahuan agama yang sedikit, menyebabkan imannya menjadi rapuh. Jika hal ini berlaku, maka remaja itu akan terpengaruh dan terikut-ikut dengan perbuatan negatif rakannya. Sebaliknya, remaja yang mempunyai pegangan agama yang kuat tidak akan terpengaruh dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah. Oleh itu, masalah ini berlaku juga disebabkan oleh kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja.
           Masalah sosial ini boleh diatasi dengan memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada para remaja. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak remaja mereka mengenai ilmu keagamaan. Hal ini demikian agar remaja mempunyai pegangan agama yang kuat dan tidak terlibat dalam masalah sosial. Mereka juga akan berkembang secara seimbang dan sihat dari segi rohani. Jadi, didikan agama amat penting agar remaja tidak akan terpengaruh dengan gejala sosial.
          Akhir sekali, pihak yang berkaitan boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu disasarkan kepada golongan remaja. Remaja boleh melibatkan diri dalam aktiviti seperti gotong-royong, senamrobik dan aktiviti sukan seperti bola sepak dan badminton. Dengan cara ini, remaja dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Jelaslah bahawa remaja dapat melibatkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, sekaligus dapat mengelak  daripada terlibat dalam masalah sosial.
          Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam mengatasi masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana remaja bakal memimpin negara ini pada masa yang akan datang. Jika masalah ini tidak diatasi, nescaya negara kita kan kehilangan pemimpin yang berwibawa dan masalah sosial akan terus menjadi-jadi.

Usaha-Usaha Bagi Meningkatkan Mutu Sukan Negara

Usaha-Usaha Bagi Meningkatkan
Mutu Sukan Negara
Arena sukan merupakan wahana bagi negara untuk meningkatkan imej di seantero dunia. Kejayaan yang telah dikecapi oleh negara dalam sukan terjun, skuasy, badminton, berbasikal dan hoki menyebabkan Malaysia sukses untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Malangnya, sukan renang, gimnastik, olahraga dan bola sepak mengalami penurunan yang drastik sejak akhir-akhir ini. Pihak persatuan sukan-sukan ini pula mengalami krisis dalaman dan ahli-ahlinya sentiasa menuding jari dan bertikam lidah antara satu sama lain apabila acara sukan yang diselia oleh mereka mengalami kekalahan. Sebenarnya, pelbagai usaha harus dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama persekutuan-persekutuan sukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.
Kementerian Belia dan Sukan boleh meningkatkan mutu sukan negara melalui metode membina kompleks sukan bertaraf dunia bagi memudahkan sesi latihan para atlet negara. Kegagalan pihak kementerian untuk menyediakan kemudahan ini menyebabkan atlet-atlet negara terpaksa berlatih di luar negara dan selalu berulang-alik lalu membuang masa mereka. Apabila negara menghantar para atlet pula, perbelanjaan dan kos perjalanan menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan pembaziran dana secara tidak terkawal.Dana ini dapat digunakan untuk tujuan yang lebih penting seperti program pembangunan sukan bagi acara-acara sukan yang masih lemah daripada terbazir begitu sahaja.Pembinaan kompleks sukan bertaraf dunia bukan sahaja menjimatkan dana malah meningkatkan pendapatan negara dalam sektor sukan.Hal ini demikian kerana negara akan berpeluang untuk dipilih bagi menjadi tuan rumah bagi acara-acara sukan yang berprestij. Penganjuran acara sukan seperti ini akan menyebabkan ramai pelancong dan delegasi atlet dari luar negara memasuki Malaysia lalu merancakkan pengaliran masuk wang ke dalam negara. Namun begitu, Kementerian  Belia dan Sukan perlu mengukur baju di badan sendiri agar pembinaan prasarana ini tidak mendatangkan keburukan kepada negara.Natijahnya, mutu sukan negara dapat ditingkatkan dengan pembinaan kompleks sukan bertaraf dunia.
Selain itu, mutu sukan negara juga dapat ditingkatkan dengan melibatkan para atlet dalam banyak kejohanan sukan. Sebagai contoh, pemain badminton negara sering menyertai pertandingan-pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Badminton All-England, Kejohanan Badminton Piala Thomas, Kejohanan Badminton Piala Uber dan Kejohanan Badminton Terbuka. Melalui penglibatan mereka dalam pertandingan-pertandingan ini, para pemain akan berpelung untuk beraksi dengan ramai pemain antarabangsa yang lain. Kaedah ini terbukti berkesan kerana pemain-pemain tempatan akan dapat memahami dan mempelajari strategi pemain pihak lawan yang akan menyebabkan mereka menjadi betah untuk mengalahkan lawan kerana alah bisa, tegal biasa. Para pemain turut akan berpeluang meningkatkan kualiti pencapaian masing-masingsemasa menyiapkan diri untuk sesuatu pertandingan. Rumusannya, penglibatan atlet dalam pelbagai kejohanan sukan meningkatkan mutu sukan negara.
Seterusnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan harus memberikan insentif kepada para atlet yang berjaya dalam acara sukan masing-masing.Pihak kementerian tidak boleh bersikap lepas tangan dengan tidak menghargai sumbangan dan jasa para atlet. Pemberian insentif kepada mereka adalah penting kerana perkara ini menjadi tanda penghargaan negara kepada atlet yang telah bertungkus lumus dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Insentif berbentuk kewangan atau harta benda yang diberikan mampu meningkatkan motivasi para atlet untuk menjadi lebih sukses dalam acara masing-masing. Motivasi yang tinggi dalam kalangan atlet pula akan menyebabkan mereka lebih bertekad untuk mengecapi kejayaan dalam sukan. Atlet-atlet yang kurang berjaya pula akan menjadi lebih bersemangat setelah melihat atlet lain diberikan anugerah atas kejayaan yang dikecapi lalu meningkatkan usaha dan kualiti persembahan masing-masing untuk mendapatkannya. Hal ini demikian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Konklusinya, pemberian insentif kepada para atlet yang berjaya mampu meningkatkan mutu sukan negara.
Di samping itu, persekutuan juga berperanan untuk mengadakan program pembangunan sukan untuk meningkatkan mutu sukan negara. Persekutuan sukan perlu mengambil langkah yang proaktif untuk merangka program pembangunan sukan yang melibatkan golongan muda, lebih-lebih lagi golongan kanak-kanak agar dapat menjadi pelapis pada masa akan datang. Hal ini demikian kerana pendedahan sukan pada usia setahun jagung akan menyebabkan kanak-kanak dilatih agar menjadi lebih mahir dalam acara sukan yang digemari. Bukan itu sahaja, kanak-kanak akan dapat mempelajari ilmu-ilmu sukan dalam tempoh masa yang lebih pendek kerana lebih mudah memahaminya di samping tidak susah untuk diajar berbanding dengan golongan yang lebih dewasa seperti golongan remaja. Pembelajaran pada usia yang lebih muda turut menjadi mudah disebabkan perkembangan otak mereka yang lebih pantas. Oleh itu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, program pembangunan sukan harus diadakan oleh persekutuan sukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Akhirulkalamnya, mutu sukan negara pada masa ini harus dipertingkatkan. Pihak Kementerian Belia dan Sukan perlu bermuafakat dengan pihak persekutuan-persekutuan melalui metode mengadakan perbincangan meja bulat untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Hal ini demikian kerana bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat dan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pihak-pihak ini tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sekiranya semua usaha ini sukses untuk dilakukan, sudah tentu mutu sukan negara akan dapat ditingkatkan dan ini membuktikan bahawa Malaysia juga memiliki ramai atlet yang berkelas dunia.