Usaha-Usaha
Bagi Meningkatkan
Mutu
Sukan Negara
Arena sukan
merupakan wahana bagi negara untuk meningkatkan imej di seantero dunia.
Kejayaan yang telah dikecapi oleh negara dalam sukan terjun, skuasy, badminton,
berbasikal dan hoki menyebabkan Malaysia sukses untuk berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Malangnya, sukan renang,
gimnastik, olahraga dan bola sepak mengalami penurunan yang drastik sejak
akhir-akhir ini. Pihak persatuan sukan-sukan ini pula mengalami krisis dalaman
dan ahli-ahlinya sentiasa menuding jari dan bertikam lidah antara satu sama
lain apabila acara sukan yang diselia oleh mereka mengalami kekalahan.
Sebenarnya, pelbagai usaha harus dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan
dengan kerjasama persekutuan-persekutuan sukan untuk meningkatkan mutu sukan
negara.
Kementerian Belia dan Sukan boleh
meningkatkan mutu sukan negara melalui metode membina kompleks sukan bertaraf
dunia bagi memudahkan sesi latihan para atlet negara. Kegagalan pihak
kementerian untuk menyediakan kemudahan ini menyebabkan atlet-atlet negara
terpaksa berlatih di luar negara dan selalu berulang-alik lalu membuang masa
mereka. Apabila negara menghantar para atlet pula, perbelanjaan dan kos
perjalanan menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan pembaziran dana secara tidak
terkawal.Dana ini dapat digunakan untuk tujuan yang lebih penting seperti
program pembangunan sukan bagi acara-acara sukan yang masih lemah daripada
terbazir begitu sahaja.Pembinaan kompleks sukan bertaraf dunia bukan sahaja
menjimatkan dana malah meningkatkan pendapatan negara dalam sektor sukan.Hal
ini demikian kerana negara akan berpeluang untuk dipilih bagi menjadi tuan
rumah bagi acara-acara sukan yang berprestij. Penganjuran acara sukan seperti
ini akan menyebabkan ramai pelancong dan delegasi atlet dari luar negara
memasuki Malaysia lalu merancakkan pengaliran masuk wang ke dalam negara. Namun
begitu, Kementerian Belia dan Sukan
perlu mengukur baju di badan sendiri agar pembinaan prasarana ini tidak
mendatangkan keburukan kepada negara.Natijahnya, mutu sukan negara dapat
ditingkatkan dengan pembinaan kompleks sukan bertaraf dunia.
Selain itu, mutu sukan negara juga
dapat ditingkatkan dengan melibatkan para atlet dalam banyak kejohanan sukan.
Sebagai contoh, pemain badminton negara sering menyertai
pertandingan-pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Badminton
All-England, Kejohanan Badminton Piala Thomas, Kejohanan Badminton Piala Uber
dan Kejohanan Badminton Terbuka. Melalui penglibatan mereka dalam
pertandingan-pertandingan ini, para pemain akan berpelung untuk beraksi dengan
ramai pemain antarabangsa yang lain. Kaedah ini terbukti berkesan kerana
pemain-pemain tempatan akan dapat memahami dan mempelajari strategi pemain
pihak lawan yang akan menyebabkan mereka menjadi betah untuk mengalahkan lawan
kerana alah bisa, tegal biasa. Para pemain turut akan berpeluang meningkatkan
kualiti pencapaian masing-masingsemasa menyiapkan diri untuk sesuatu
pertandingan. Rumusannya, penglibatan atlet dalam pelbagai kejohanan sukan
meningkatkan mutu sukan negara.
Seterusnya, pihak Kementerian Belia
dan Sukan harus memberikan insentif kepada para atlet yang berjaya dalam acara
sukan masing-masing.Pihak kementerian tidak boleh bersikap lepas tangan dengan
tidak menghargai sumbangan dan jasa para atlet. Pemberian insentif kepada
mereka adalah penting kerana perkara ini menjadi tanda penghargaan negara
kepada atlet yang telah bertungkus lumus dalam usaha mengharumkan nama Malaysia
di persada dunia. Insentif berbentuk kewangan atau harta benda yang diberikan
mampu meningkatkan motivasi para atlet untuk menjadi lebih sukses dalam acara
masing-masing. Motivasi yang tinggi dalam kalangan atlet pula akan menyebabkan
mereka lebih bertekad untuk mengecapi kejayaan dalam sukan. Atlet-atlet yang
kurang berjaya pula akan menjadi lebih bersemangat setelah melihat atlet lain
diberikan anugerah atas kejayaan yang dikecapi lalu meningkatkan usaha dan
kualiti persembahan masing-masing untuk mendapatkannya. Hal ini demikian kerana
di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Konklusinya, pemberian insentif kepada
para atlet yang berjaya mampu meningkatkan mutu sukan negara.
Di samping itu, persekutuan juga
berperanan untuk mengadakan program pembangunan sukan untuk meningkatkan mutu
sukan negara. Persekutuan sukan perlu mengambil langkah yang proaktif untuk
merangka program pembangunan sukan yang melibatkan golongan muda, lebih-lebih
lagi golongan kanak-kanak agar dapat menjadi pelapis pada masa akan datang. Hal
ini demikian kerana pendedahan sukan pada usia setahun jagung akan menyebabkan
kanak-kanak dilatih agar menjadi lebih mahir dalam acara sukan yang digemari.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak akan dapat mempelajari ilmu-ilmu sukan dalam
tempoh masa yang lebih pendek kerana lebih mudah memahaminya di samping tidak
susah untuk diajar berbanding dengan golongan yang lebih dewasa seperti
golongan remaja. Pembelajaran pada usia yang lebih muda turut menjadi mudah
disebabkan perkembangan otak mereka yang lebih pantas. Oleh itu, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Justeru, program pembangunan sukan harus diadakan oleh
persekutuan sukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.
Akhirulkalamnya, mutu sukan negara
pada masa ini harus dipertingkatkan. Pihak Kementerian Belia dan Sukan perlu
bermuafakat dengan pihak persekutuan-persekutuan melalui metode mengadakan
perbincangan meja bulat untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Hal ini
demikian kerana bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat dan
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pihak-pihak ini tidak boleh bersikap
seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sekiranya semua
usaha ini sukses untuk dilakukan, sudah tentu mutu sukan negara akan dapat
ditingkatkan dan ini membuktikan bahawa Malaysia juga memiliki ramai atlet yang
berkelas dunia.